SYNERGY BIZ CLUB

Nama Kelab, Synergy Biz Club (SBC), diinspirasikan dari perkataan sinergi itu sendiri, yang membawa maksud usaha sama antara individu menghasilkan sesuatu lebih baik berbanding jika dilakukan secara sendirian.  Dalam erti kata lain, mengusahakan sesuatu aktiviti menjana pendapatan secara berkumpulan untuk mendatangkan hasil yang lebih besar tanpa ada perasaan risau dan gusar akan saingan dalam perniagaan. SBC sebagai pemangkin kepada usahawan untuk saling bantu membantu dalam suasana hubungan rapat dalam kumpulan.

Ukhuwah atau persaudaraan yang erat diterapkan di SBC melalui perjumpaan di “Club House” yang telah membuka pintu kepada 50 orang usahawan sejak 1 Ogos 2019.  Rakan Usahawan bertemu untuk bertukar-tukar fikiran dalam suasana privasi dan selesa dengan pelbagai kemudahan yang disediakan di Club House.

Bukan sahaja Club House disediakan untuk dimanfaatkan oleh ahli, kini website Kelab juga diwujudkan sebagai platform perkongsian aktiviti ahli dan sekaligus dapat memperkenalkan perniagaan serta produk ahli dengan lebih meluas. Laman web ini direka khas untuk ahli-ahli Kelab dengan ciri-ciri yang tidak lari dari konsep meniaga secara berkumpulan. Laman web Kelab akan dilancarkan secara rasmi pada awal Oktober 2019 nanti, InsyaAllah.

Buletin SBC 2019 yang diterbitkan ini juga merupakan salah satu inisiatif Kelab untuk merakamkan penghargaan kepada semua rakan-rakan usahawan yang terus membantu dan menyokong SBC. Semoga dengan penghasilan buletin ini, dapat meluaskan lagi perniagaan masing-masing di samping melakarkan semua kenangan dan memori indah bersama Kelab dalam  potret dan catatan untuk tatapan masa yang akan datang.

Selamat maju jaya bersama Synergy Biz Club

Shikin Ali, Presiden

"WORKING TOGETHER IS MORE EFEECTIVE THEN WORKING ALONE"